Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk membuat pertunjukkan silat di hadapan Masjidil Haram di Makkah ataupun Masjid Nabawi di Madinah.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa ianya tidak seharusnya membawa kepada mencemarkan imej negara dan perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi terlebih dahulu.
Dengan merujuk kepada sirah Nabi SAW, Wan Salim turut mengatakan bahawa pernah satu rombongan dari negara Habasyah membuat pertunjukan tarian pedang di dalam Masjid Nabi yang disaksikan oleh Baginda dan Sayyidatina Aisyah.
“Tiada larangan bersilat atau membuat persembahan seni bela diri di dalam masjid termasuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
“Kita membaca di dalam kitab-kitab sirah diceritakan pada zaman Rasulullah SAW, pernah satu rombongan dari negara Habsyah membuat pertunjukan tarian pedang (tarian kepahlawanan seakan-akan silat) di dalam Masjid Nabi, sedangkan Sayyidatina Aisyah menyaksikan pertunjukan itu bersama Rasulullah menerusi jendela rumahnya.
“Mungkin diperlukan syarat-syarat tertentu seperti silat itu tidak disertai dengan jampi mentera yang haram menurut hukum syarak serta mendapat kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya kepada Malaysiakini.
Wan Salim mengulas satu video yang tular di media sosial yang melibatkan seorang lelaki dewasa bersama dua orang kanak-kanak lelaki bersilat di hadapan Masjid Nabawi di Madinah.
Tindakan tiga beranak yang lengkap berpakaian tradisi Melayu siap bertanjak itu mengundang pelbagai tanggapan warga maya.
Ada netizen yang beranggapan tindakan tiga sekeluarga itu keterlaluan dan boleh mencemarkan nama baik Malaysia.
Dalam pada itu, Wan Salim menitipkan pesanan supaya sesuatu tindakan yang ingin diambil di tanah suci perlu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk negara.
Katanya, jika bimbang ia boleh mendatangkan mudarat kepada negara, sepatutnya perkara itu dielakkan.
“Kalau ia akan merosakkan nama baik Malaysia di mata umat Islam dari negara-negara lain atau akan menimbulkan kemarahan pihak pengurusan Masjid Nabawi, maka tidaklah bijak pertunjukan itu diadakan,” katanya lagi.