Tokoh korporat Nazir Razak menyatakan sokongannya di sebalik gesaan agar kerajaan “asingkan” pindaan perlembagaan mengenai kewarganegaraan, yang mendapat kritikan meluas.
Dalam catatan Instagram, dia menyatakan persetujuannya terhadap usaha kerajaan untuk memberikan hak sama rata kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing untuk mendaftarkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara sebagai rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, bekas pengerusi bank CIMB itu membangkitkan kebimbangannya mengenai rancangan Putrajaya untuk menafikan hak kewarganegaraan anak-anak terdampar dan anak tanpa kerakyatan melalui pindaan yang dirancang.
“… mari bercakap tentang anak-anak terdampar. Saya baru-baru ini menonton filem Abang Adik dan amat terharu dengan gambaran dua kanak-kanak tanpa kerakyatan yang menunggu dengan terdesak untuk mendapatkan kerakyatan mereka.
“Walaupun mereka dilahirkan di Malaysia, kepada rakyat Malaysia. Betapa tidak adilnya untuk menafikan hak kewarganegaraan anak-anak mereka seperti yang dimaksudkan oleh bapa pengasas kita. Terdapat bahagian kedua kepada pindaan yang dicadangkan yang melakukan perkara ini,” kata Nazir.
Dia merujuk kepada filem tempatan yang diterbitkan tahun lalu yang mengangkat kisah mengenai dua beradik, yang bergelut dalam kehidupan kerana status mereka sebagai pendatang tanpa izin di Malaysia.
Pada Isnin (11 Mac), Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Putrajaya mahu meminda undang-undang kewarganegaraan berkaitan anak anak terdampar untuk mengelakkan ia daripada disalah guna oleh warga asing.
Ini meskipun terdapat kritikan dan bantahan daripada pelbagai pihak, dengan sesetengah pihak berpendapat bahawa cadangan pindaan itu akan memburukkan keadaan bagi mereka yang tidak bernegara.
Pengkritik percaya ia boleh menyebabkan lebih ramai orang tidak mempunyai kerakyatan atau meletakkan golongan itu dalam kedudukan tidak menentu.
Tambahnya lagi, Nazir, yang merupakan ahli Better Malaysia Assembly (BMA), berkata kanak-kanak terbiar tidak berdaya dan tidak bersalah kerana melintasi sempadan.
“Kanak-kanak tidak berdaya dan tidak boleh mendaftarkan diri mereka. Mengapa mereka harus menghadapi kehidupan tanpa kerakyatan kerana tindakan tidak bertanggungjawab ibu bapa mereka atau keadaan asal mereka?
“Tambahan pula, tanpa dokumen kelahiran dan ibu bapa kandung yang tidak diketahui, bagaimana mereka akan membuktikan keturunan mereka?
“Ini adalah isu yang dipertikaikan. Jadi kita patut biarkan wakil rakyat kita mengundi dan memutuskan untuk kita.
“Tetapi, dua elemen utama pindaan itu harus dipisahkan dan diundi secara berasingan. Menggabungkan dua perkara itu dengan cara ini adalah tidak adil, dan ia adalah mudah untuk melakukan perkara yang betul. Tolong asingkan!” katanya.