Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming menyatakan bahawa kejayaan masyarakat Bumiputera adalah sangat penting bagi mencapai aspirasi Malaysia Madani yang inklusif merangkumi semua kaum.
Beliau menekankan bahawa masyarakat Madani yang bersatu merupakan komponen penting untuk negara terus berjaya dan maju, dan memerlukan kerjasama strategik dari semua pihak termasuk antara bumiputera dan bukan bumiputera.
“Dalam era globalisasi yang sedang kita alami, persaingan sebenarnya adalah antara syarikat tempatan dengan syarikat asing terutamanya badan korporat antarabangsa.
“Oleh itu, bangsa Malaysia perlu bekerjasama dan tidak bersaing sesama sendiri atau terjejas dengan pemikiran lama yang terikat dengan mentaliti persaingan sifar,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Putrajaya hari ini.
Nga juga bersetuju dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli tentang keperluan masyarakat Malaysia Madani untuk menumpukan usaha mereka dalam meningkatkan daya saing syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global, dan bukan terfokus kepada persaingan antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga menggesa semua rakyat Malaysia untuk mencari peluang bekerjasama yang berpaksikan kepada prinsip Malaysia Madani demi mencapai kejayaan bersama.
Semangat kerjasama yang dibangunkan ini, menurut Nga, dapat menjadikan Malaysia kembali disegani dan dihormati di persada dunia, serta menjadikan negara ini sebagai ekonomi ke-30 terbesar dan menduduki tangga ke-12 dalam indeks daya saing dunia menjelang tahun 2030.
– Bernama