NGO berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF), menggesa agar aset bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud dibekukan serta-merta berikutan kematiannya semalam.
Pengarah eksekutif NGO itu Lukas Straumann juga mahu kerajaan dan badan kehakiman membuka semula siasatan mengenai asal-usul “kekayaan besar” Abdul Taib dan ahli keluarga terdekatnya.
“Kami menyeru SPRM membuka semula siasatan terhadap aset Abdul Taib yang ditutup pada 2016 atas sebab politik.
“Semua akaun bank peribadi Abdul Taib dan aset lain harus dibekukan serta-merta untuk mengelakkan kekayaan yang diperoleh secara haram itu daripada diambil alih oleh ahli keluarga,” kata Straumann dalam kenyataan hari ini.
BMF merupakan pengkritik lantang terhadap Abdul Taib sejak sekian lama, bahkan menulis buku mengenai kekayaan dan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan ahli keluarga bekas ketua Menteri Sarawak itu.
Straumann mendakwa dalam tempoh 60 tahun Abdul Taib menjadi penjawat awam, dia memperoleh sejumlah besar kekayaan walaupun terdapat larangan perlembagaan untuk ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak terlibat dalam perusahaan komersial.
Pada 2021, katanya, BMF mendapat pendapat undang-undang yang menunjukkan penglibatan Abdul Taib sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat Ramah Jelita Sdn Bhd melanggar Perlembagaan Sarawak.
Syarikat itu, kata Straumann, terlibat dalam urusan jual beli tanah di Sarawak.
“Abdul Taib juga didakwa menyalahgunakan jawatan penjawat awam dan terlibat dengan rasuah apabila membenarkan penswastaan syarikat milik kerajaan terbesar di Negeri itu, Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), ke tangan ahli keluarga terdekatnya pada awal 1990-an.
“Sepanjang tempoh Abdul Taib menjadi ketua Menteri, CMS mendapat manfaat daripada kontrak awam bernilai lebih RM4.9 bilion (ASD1.4 bilion),” dakwa Straumann.
Tambahnya lagi, Sarawak juga kehilangan sebahagian besar hutan hujan khatulistiwa utamanya kepada industri pembalakan dan perladangan di bawah pegangan Abdul Taib.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur awal pagi semalam. Jenazahnya dibawa ke Masjid Negara untuk istiadat terakhir sebelum diterbangkan pulang ke Kuching, Sarawak.
Dia dijangka dikebumikan di Negeri terbabit hari ini.
Pelbagai pihak menganggap kematian Abdul Taib sebagai sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan negara.
Kerajaan Sarawak juga mengisytiharkan perkabungan Negeri selama dua hari dengan bendera akan dikibarkan separuh tiang, manakala semua acara hiburan ditangguhkan.