Syarikat NSK Trade City Sdn Bhd (NSK) semalam memohon maaf terbuka selepas salah satu pasar raya mereka didapati menjual barang didakwa daging katak.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, NSK mengakui bahawa isu tersebut sangat serius.
NSK juga mengambil tindakan untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang.
“Mohon maaf atas insiden yang berlaku pada 24 Okt lalu,” kata NSK dalam kenyataan tersebut.
“Kami sedar tahap keseriusan isu ini dan kami telah mengambil tindakan serta-merta. Kami juga memberikan amaran keras kepada pekerja yang terlibat,” lanjut kenyataan tersebut.
Sebelum itu, perkara ini telah tersebar di media sosial mengenai “daging katak” yang dijual bersama barang lain di pasar raya NSK di Selayang.
Kejadian ini dikatakan berlaku sekitar jam 10 pagi pada hari tersebut dan pasar raya belum penuh dengan pelanggan.
Setelah dimaklumkan kepada pekerja pasar raya, “daging katak” tersebut telah dipindahkan daripada meja jualan.
NSK mendapati bahawa pengedar telah menghantar barang tersebut bersama dengan tempahan lain dan diletakkan di bahagian jualan barang basah.
Pekerja yang bertanggungjawab di bahagian tersebut membuka dan mempamerkan daging tersebut tanpa mengetahui bahawa ia adalah daging katak.
NSK akan memastikan bahawa kejadian serupa tidak akan berulang lagi.
“Kami memohon maaf dan akan mengambil tindakan untuk mencegah kesilapan seperti ini berlaku lagi,” kata NSK.
Apabila dihubungi oleh Malaysiakini, NSK menjelaskan bahawa mereka tidak pernah menempah daging katak sebagai salah satu barang jualan di pasar raya mereka.
“Kami tidak memesan daging tersebut dan tidak pernah menjualnya, termasuk untuk diletakkan di bahagian tidak halal,” kata wakil syarikat tersebut.