“Saya baik-baik saja di Universiti Hong Kong, tidak perlu risau. Saya akan balik nanti, jaga diri anda. Saya terlupa nombor telefon kamu,” demikian pesanan ringkas yang tercatat pada buku nota paderi Australia, John Wotherspoon.
Ditulis dalam bahasa Cina, dia diminta menyampaikan pesanan tersebut kepada keluarga seorang rakyat Malaysia bernama Alvin (bukan nama sebenar), yang tinggal di Hong Kong.
Perkara yang menyedihkan ialah Alvin tidak memberitahu keluarganya perkara sebenar. Lelaki berusia 22 tahun itu sebenarnya bukan pelajar tetapi keldai dadah yang kini ditahan di penjara Hong Kong.
Pada hari terakhir 2023, Wotherspoon berada di Malaysia dan berharap dia dapat menyampaikan mesej tersebut kepada keluarga Alvin. Malangnya Alvin hanya memberikan alamat kampung halamannya di Selangor,.
Keraja itu Wotherspoon tidak berjaya menghubungi keluarga Alvin semasa berada di negara ini selama dua hari.
Wotherspoon ditempatkan di Hong Kong selama bertahun-tahun dan sejak 2013, dia telah membantu keldai dadah di penjara Hong Kong yang kebanyakannya adalah rakyat Malaysia.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini yang dijalankan dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Kantonis, dia menganggarkan terdapat 12 kes membabitkan individu mengedar dadah dari Malaysia ke Hong Kong sepanjang tahun lalu.
Alvin adalah seorang daripada mereka.
“Kira-kira 12 kes pada tahun ini (lalu)… tetapi tidak semuanya warga Malaysia,” katanya.
Dia memberitahu enam daripada individu terbabit adalah warganegara Malaysia.
Empat tahun lalu, semasa wawancara media, Wotherspoon telah pun menekankan bahawa sekurang-kurangnya 40 anak muda Malaysia dieksploitasi sebagai keldai dadah dan ditangkap di Hong Kong.