Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Friday, November 22, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesPadu: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi, kata pakar

    Padu: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi, kata pakar

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Bekerja dalam dunia profesional dengan pendapatan kasar mencecah lebih RM5,000 sebulan, menetap di ibu kota, tidak berkahwin dan berada  dalam kategori M40 sering kali dipinggirkan daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan kerana diklasifikasikan sebagai tidak layak.

    Walhal pada hakikatnya, golongan M40 yang berpendapatan sekitar RM4,851 hingga RM10,970 sebulan ini juga tidak terkecuali daripada terbeban dengan komitmen yang tinggi apabila ada antara mereka terpaksa  menjadi “nakhoda keluarga” dalam melunaskan pelbagai perbelanjaan antaranya perubatan  ibu bapa mahupun adik-beradik yang masih belajar. 

    “Memanglah bujang, tetapi kena bayar keperluan untuk dua buah rumah. Satu rumah yang dibeli di Kuala Lumpur manakala satu lagi  untuk emak ayah di kampung bagi keselesaan mereka. Jadi, tertekan jugalah kalau PADU (Sistem Pangkalan Data Utama) tidak ambil kira bebanan M40 bujang secara keseluruhan,” kata pekerja swasta, Suraya Ali, 37. 

    Biarpun M40 kini boleh menarik nafas lega sebaik selesainya pelancaran sistem portal itu pada Selasa yang menjamin golongan tersebut tidak akan tercicir apabila PADU mengambil kira perbelanjaan isi rumah setiap bulan, tanggungan, kos sara hidup ikut lokasi dan tidak berdasarkan pengelasan B40, M40 dan T20. 

    Namun, keluh-kesah masih lagi merantai kalangan M40 bujang khususnya mereka yang mempunyai tanggungan besar apabila pengisian dan pengemasan maklumat yang diperlukan dalam portal tersebut dilihat masih ada lagi kelompangan dan ruang yang perlu ditambah baik.

    Malah, beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama berpandangan beberapa perincian khusus berkaitan dengan “jumlah tanggungan” dan terma “isi rumah” itu perlu diteliti kembali. 

    Jika tidak, risiko golongan M40 bujang yang mempunyai komitmen tinggi dan sewajarnya layak untuk menerima subsidi dan bantuan tidak mustahil akan tercicir berikutan maklumat terperinci dan lengkap tidak dapat diisi disebabkan kelompangan tersebut, kata Prof Dr Barjoyai Bardai.

    ALSO READ:  KDN cadang penyalahgunaan dadah tidak akan didakwa

    Ini kerana, isi rumah diklasifikasikan kepada mereka yang tinggal bersama dalam satu rumah menggunakan peruntukan sama untuk bayaran utiliti, keperluan dapur dan kehidupan seharian tetapi yang dibangkitkan adalah mereka yang tinggal berasingan dan mempunyai tanggungan besar. 

    “Yang diperlukan adalah ruang memperincikan situasi kewangan setiap yang berdaftar di PADU supaya aspek keunikan kedudukan kewangan boleh diambil kira dan ditangani bagi menyelesaikan masalah kewangan setiap keluarga secara mutlak.

    “Jika ini boleh dilakukan, barulah boleh dikatakan kerajaan Madani benar-benar  mematlamatkan kesejahteraan rakyat seluruh negara. Peraturan dan polisi boleh diubah suai mengikut keperluan khusus setiap isi rumah tanpa perlu mewujudkan peraturan umum tentang definisi isi rumah dan keluarga,” kata pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) itu. 

    Barjoyai Bardai

    Keperluan perincian itu juga antara yang turut disentuh Prof Madya Dr Ku Suhaila Ku Johari, Ketua Program Siswazah, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila separuh daripada mereka yang berjumpa semasa  sesi kaunselingnya merupakan  M40 bujang yang terhimpit dengan suasana ekonomi mencabar dan isu sara hidup. 

    Dilabelkan sebagai “bujang senja”, beliau berkata beberapa kajian sebelum ini mendapati ramai kelompok ekonomi tersebut lebih selesa bersendirian daripada memilih untuk berkahwin disebabkan tertanggung dengan pelbagai komitmen besar. 

    “Kesukaran itu satu yang subjektif. Mungkin kita beranggapan M40 bujang, senang, tidak mempunyai anak untuk hantar mereka ke pusat penjagaan dan sebagainya sedangkan golongan ini juga ada yang menjadi ketua keluarga dan menyara emak, ayah, adik-beradik walaupun tidak duduk satu rumah. 

    “Kerana itu, saya berpandangan sistem PADU perlu diperhalusi lagi untuk golongan seperti  ini kerana kebimbangan mereka semakin bertambah apabila kerajaan mengumumkan akan melakukan subsidi bersasar. Mereka takut tidak layak,” katanya. 

    Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini menyatakan peratusan wanita dalam kumpulan usia 25 hingga 29 tahun yang belum berkahwin meningkat 37.8 peratus pada 2010 berbanding 29.8 peratus pada 2000.

    ALSO READ:  Soccer-Italy squander two-goal lead in Belgium draw

    Biarpun begitu, komitmen kerajaan untuk memastikan golongan yang layak tidak tercicir termasuk M40 yang sebelum ini sering dianggap sebagai kumpulan “terlepas pandang” dalam menerima insentif menerusi PADU, adalah bertepatan dengan masanya, kata Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

    Beliau yang merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata ramai golongan M40 terhimpit dengan cabaran kehidupan dan kos sara hidup yang kian meningkat selepas pandemik Covid-19.

    “Tiada lagi pengkelasan B40, M40 dan T20 dalam menentukan pengagihan bantuan dan subsidi adalah wajar memandangkan golongan M40 yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang semakin tertekan selepas Covid-19. 

    “Sedangkan pergerakan gaji atau pendapatan mereka tidak selaju pergerakan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan yang mencanak dan kerana itu, PADU merupakan jawapan kepada penantian M40 selama ini,” katanya. 

    PADU yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah hab data negara yang selamat dan komprehensif untuk mengelakkan berlakunya keciciran dalam pengagihan bantuan serta subsidi kerajaan. 

    Sistem itu juga dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi apabila kajian sebelum ini mendapati pengagihan subsidi tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran. 

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts