Pakar kanak-kanak, Dr. Amar Singh mengatakan ibu tanpa kerakyatan yang bayinya diambil untuk dijadikan anak angkat tanpa persetujuannya perlu dibantu menjalani ujian DNA untuk membuktikan bayi itu adalah anaknya. “Kita perlu segera membantunya membuktikan bahawa anak itu adalah miliknya. Ujian DNA yang ringkas terhadap ibu dan anak itu akan dapat membuktikan bahawa anak itu adalah miliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dia mengulas mengenai kes Aimah, seorang wanita Bajau Laut tanpa kerakyatan yang kehilangan bayinya selepas dijadikan sebagai anak angkat tahun lalu. Aimah yang melahirkan bayi pramatang di rumah dibawa ke Hospital Lahad Datu pada September tahun lalu dalam keadaan bersabung nyawa ketika itu.
Namun dia kehilangan hak penjagaan dua bulan kemudian apabila penilaian Jabatan Kebajikan Masyarakat mengatakan dia melakukan pengabaian apabila anaknya itu dibiarkan di unit rawatan rapi neonatal, selain pihak hospital juga tidak dapat menghubunginya.
Dalam satu laporan khas yang diterbitkan hari ini, Malaysiakini melaporkan pihak hospital sebenarnya telah memberitahu Aimah supaya pulang ke rumah untuk menemui enam anaknya yang lain setelah dia beransur pulih dari proses bersalin.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang enggan namanya disiarkan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan pihak media, memberitahu portal berita ini bahawa kelahiran itu berlaku di rumah dan Aimah tidak mempunyai pengenalan diri serta tidak dapat membuktikan bahawa anak itu adalah anaknya.
Proses undang-undang yang tergesa-gesa
Proses pengambilan anak angkat itu dilakukan secara sah melalui Mahkamah Majistret tetapi selesai dalam masa seminggu, yang menimbulkan persoalan mengenai sama ada proses yang pantas itu mematuhi prosedur yang sewajarnya.
Kes Aimah adalah salah satu daripada beberapa kes yang direkodkan Malaysiakini di mana wanita tanpa warganegara kehilangan hak penjagaan anak-anak mereka atau diugut akan kehilangan penjagaan anak-anak mereka yang dirawat di Hospital Lahad Datu.
Dalam satu kes, siasatan hospital mendapati seorang ibu membunuh diri bersama bayinya setelah dia diberitahu akan kehilangan bayinya yang berusia lima bulan dan dipaksa menyelesaikan bil hospital yang tinggi bagi rawatan bayinya.
Komuniti tanpa kewarganegaraan tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang disubsidi dan perlu membayar terlebih dahulu untuk melakukan pendaftaran, ujian dan rawatan di fasiliti kesihatan awam, yang seringkali berjumlah ribuan ringgit.
Sementara itu, Amar mengesahkan terdapat banyak kes layanan “tanpa kemanusiaan terhadap komuniti Bajau Laut dan komuniti tanpa warganegara lain” yang telah dilaporkan oleh profesional perubatan dan NGO lain dalam bidang tersebut.
Dia menegaskan bahawa tindakan meletakkan ibu tanpa kewarganegaraan kepada risiko kehilangan anak boleh mengundang bahaya kepada nyawa mereka. “Tanpa penjagaan antenatal rutin dan dengan dipaksa bersalin di rumah, kita meletakkan ibu-ibu itu kepada risiko kematian ibu; dan bayi pada risiko kematian neonatal.
“Ketiadaan penyediaan penjagaan kesihatan primer rutin untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, iaitu imunisasi primer rutin serta pemantauan pertumbuhan dan perkembangan, mengakibatkan kematian bayi dan kanak-kanak di bawah lima tahun yang tinggi. “Tiada keluarga yang perlu membayar imunisasi asas untuk menyelamatkan nyawa anak mereka,” katanya.
Perluaskan perlindungan terhadap keluarga
Tambahnya, Konvensyen Hak Kanak-Kanakc yang ditandatangani Malaysia dan Akta Kanak-Kanak 2001 melindungi setiap kanak-kanak tanpa mengira status imigresen. Dia juga menegaskan bahawa peruntukan undang-undang perlu diperluaskan kepada keluarga mereka sebagai cara untuk melindungi kanak-kanak tersebut.
“Komuniti Bajau Laut yang tanpa warganegara hidup sebagai ‘komuniti hantu’ di negara kita. Mereka dikeji dan dianiya, bukan hanya oleh pihak berkuasa, tetapi juga oleh komuniti lain. “Sudah lama sepatutnya kita kembalikan semula perikemanusiaan kita sebagai rakyat Malaysia dan mengakhiri penyalahgunaan institusi terhadap individu tanpa warganegara di negara kita.
“Jika tidak, kita akan membayar harga kekejaman kita kepada anak-anak kita sendiri dan anak-anak mereka,” katanya.
Bajau Laut ialah masyarakat nomad laut yang tinggal di perairan terbuka dan kawasan maritim yang didiami nenek moyang mereka merentasi laut Sulu-Sulawesi antara pulau Borneo dan Filipina. Mereka telah berada di antara perkampungan laut di Sulu di Filipina, Semporna di Sabah Timur, dan Sulawesi Selatan di Indonesia, selama beberapa generasi.
Walaupun diiktiraf kerajaan Sabah sebagai Orang Asal di Negeri itu, kebanyakan orang Bajau Laut tidak memiliki kerakyatan mengikut undang-undang, dan sering diburu oleh Jabatan Imigresen kerana menjadi “pendatang tanpa izin”.