Blogger Papagomo tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menghasut membabitkan hantaran di Facebook yang mendakwa kerajaan sebagai pro-Israel.
Papagomo atau sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, didakwa membuat hantaran itu di akaun FB Halid Hamidi (Halid Mat Kool) kira-kira 1 tengah hari pada 8 Nov tahun lepas.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan kepadanya, seorang individu dikenali sebagai Hisham Sharudin melihat hantaran Facebook oleh bekas ahli Umno itu, yang kini menjadi penyokong Bersatu.
Azri, 40, berdepan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan Azri diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 5 Feb untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.