PRK KKB: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu tidak pernah menentang kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata PAS hanya meminta beberapa pembaharuan dibuat terhadap sekolah aliran berkenaan.
“PAS tak pernah menentang sekolah vernakular bahkan kita menyatakan sekolah vernakular boleh wujud tetapi dengan beberapa pembaharuan.
“Pembaharuan itu kita boleh bincang dari segi sudut kurikulum dan sebagainya dan apa yang dicadangkan oleh pakar-pakar akademik.
“Bagi kita sekolah vernakular tidak ada isu,” katanya kepada pemberita di ceramah kelompok Taman Ampang Pecah, semalam.
Sebelum ini, Fadhli mencabar calon PH pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB), Pang Sock Tao agar berkongsi keputusan SPM untuk membuktikan dia bukan menuntut di sekolah kebangsaan.
Dia juga berharap isu Pang yang mendapat pendidikan di sekolah Cina akan ‘berterusan’ sepanjang PRK berknaan.
Sebaliknya, Pang yang juga bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan keputusan SPM dan UPSR miliknya yang menunjukkan keputusan cemerlang semua A termasuk subjek bahasa Melayu.
PRK Kuala Kubu Bharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.