Seorang pemimpin Umno hari ini telah mengecam Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan menyifatkan PAS sebagai “ugly king maker”.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata demikian setelah Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS mendakwa bahawa parti itu adalah “king maker” yang akan menentukan hayat politik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
“Menurut Sanusi, hayat politik Zahid boleh berpanjangan jika bekerjasama dengan PAS. Menurutnya lagi, PAS adalah King Maker.
“Betul, PAS adalah king maker. Tetapi ‘ugly king maker’,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
PAS boleh mengubah fatwa untuk menghalalkan tindakan politiknya. PAS meninggalkan siapa sahaja yang dia mahu,” katanya.
Semalam, Sanusi dilapurkan berkata hanya PAS sahaja yang boleh menyelamatkan kerjaya politik Ahmad Zahid jika Presiden Umno itu bekerjasama dengan parti tersebut.
“Kalau Zahid ingin melakukan apa jua pun, jika tidak melibatkan PAS, dia tidak akan berjaya menyambung hayat politik beliau,” kata Sanusi dalam sidang media di Kedah, semalam.
Sanusi juga membayangkan bahawa apa jua usaha politik tidak akan berjaya jika PAS dikesampingkan.
“Saya rasa jika tidak melibatkan PAS secara serius, ia tidak akan ke mana-mana.
“Semua gerakan politik di negara hari ini mesti melibatkan PAS, sebagai ‘king maker’,” kata Sanusi lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata PAS sanggup menyifatkan sesiapa sahaja sebagai anti-Islam untuk menjadi “king maker”.
“PAS akan menghukum dan menyifatkan sesiapa sahaja sebagai anti-Islam untuk menjadi king maker.
“PAS menjadi angkuh kerana sekarang dia menjadi king maker kepada Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu,” katanya lagi.