Seorang pekerja ladang meninggal dunia akibat dipijak gajah liar dalam kejadian di Kampung Om Pos Blau, Gua Musang, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati lelaki Bangladesh berusia 29 tahun itu berada dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri.
Menurut Sik, siasatan awal mendapati mangsa bersama rakannya terserempak dengan seekor gajah kira-kira jam 5 petang semalam.
Katanya ketika itu mereka perjalanan dari rumah kongsi ke ladang dan tidak sempat melarikan diri selepas bertembung dengan haiwan liar berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah ke atas mangsa.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bezah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sik berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap kematian mangsa.
“Pihak polis juga mengingatkan supaya tiada mana-mana individu membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.