Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati selepas ditimpa batang balak di kawasan matau balak di Kuala Betis, Gua Musang semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata Dian Hermawan, 32, yang merupakan pemandu jengkaut dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 10.15 pagi.
“Siasatan awal mendapati sebatang pokok balak telah jatuh di atas jengkaut semasa Dian Hermawan sedang berehat di dalamnya, menyebabkan dia tersepit dan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sik berkata mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bezah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.
– Bernama