Seorang lelaki warga emas telah maut dihempap pintu pagar besi di kilang miliknya di kawasan perindustrian Tanah Merah di Kota Bharu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa sedang memeriksa dan menolak pintu pagar untuk menutupnya.
“Roda pagar tiba-tiba terkeluar daripada landasan menyebabkan pintu pagar terbalik dan menghempap keseluruhan badan mangsa,” katanya.
Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 70 tahun, tersepit akibat ditimpa pagar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohd Haki berkata siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah atau sabotaj yang berlaku dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibezah siasat.
Hasil bezah siasat menunjukkan punca kematian lelaki tersebut adalah akibat Crushing Head Injury.
– Bernama