Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pengamal media memainkan perananan penting dalam memberi pandangan, ulasan serta pencerahan dalam negara demokrasi.
Oleh itu, beliau berharap semua pengamal media dapat bersama-sama memainkan perananan untuk meningkatkan martabat umat dan negara serta mempercepatkan pertumbuhan negara dengan lebih meyakinkan.
“(Perkara) ini memerlukan apa? Ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan terhadapnya (usaha angkat martabat negara).
“Ilmu itu sendiri adalah keprihatinan untuk menyantuni masyarakat, saya harap dengan semangat Ramadan sebagai madrasah Ramadan dapat kita tingkatkan iman, ilmu dan disiplin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, semalam.
Anwar berkata beliau terkesan kerana isu besar negara berkaitan soal mengejar pertumbuhan yang lebih pesat yang dilaporkan media tidak menarik minat tokoh politik.
“Saya luahkan, saya agak terkesan kerana isu besar negara, soal mengejar pertumbuhan lebih pesat, menghadapi cabaran seperti perkara digital, IT (teknologi maklumat) dan soal transisi tenaga.
“Isu kemahiran, kecekalan dan keterampilan anak muda dan bidang yang ditumpukan itu semua tidak menarik minat sebahagian tokoh politik, mereka masih terikat, terperanangkap dalam pemikiran yang usang, lapuk dan lama,” katanya.
Sebelum ini, seramai 200 pengamal media cetak, elektronik dan portal berita dari lebih 70 agensi media tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, kelab media tempatan dan antarabangsa serta veteran media telah dihormati dalam majlis tersebut.
Perdana Menteri juga memberi sumbangan kepada 20 warga media dan bekas warga media yang sedang menghadapi masalah kewangan serta kurang upaya.
– Bernama