Penganut agama Buddha di Malaysia hari ini meraikan sambutan Hari Wesak bagi memperingati kelahiran, pencerahan agung serta kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama dengan Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields di Kuala Lumpur menjadi antara lokasi tumpuan sambutan di ibu negara.
Sambutan itu yang merupakan cuti umum di Malaysia seperti tahun-tahun sebelum ini menyaksikan para penganut berkumpul di kuil-kuil Buddha menyanyikan lagu agama dan membawa simbol ikon Buddha semasa acara perarakan yang melambangkan kesucian seseorang.
Di Tokong Buddha Maha Vihara dikatakan kira-kira 20 kereta berhias akan menyertai perarakan sejauh 12 kilometer melalui Little India, Pasar Seni, Jalan Raja Chulan dan Bukit Bintang, hari ini.
Di Selangor pula, antara lokasi tumpuan sambutan adalah di Kuil Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat dengan para penganut mula berkumpul seawal jam 8 pagi.
Hari Wesak menandakan pentingnya penganut agama Buddha menerapkan keyakinan diri dalam agama tersebut dan hidup berlandaskan kepercayaannya.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy dilapor berkata sambutan yang sering dihadiri oleh kira-kira 40,000 orang di ibu kota itu dapat mengeratkan dan membolehkan masyarakat lebih mengenali budaya agama lain.
Hari Wesak disambut dengan menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, menabur bunga dan memandikan patung Buddha.
– Bernama