Seorang pengarah syarikat yang mendakwa sebagai pemilik bagasi mengandungi wang tunai lebih RM500,000 masih belum memberikan keterangan kepada polis.
Lelaki berusia lewat 40-an itu, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, gagal hadir di Balai Polis Damansara untuk menuntut wang berkenaan seperti sepatutnya.
“Sehingga kini, hanya satu laporan diterima pada jam 11.30 malam Khamis lalu yang mendakwa wang itu adalah dari dana perniagaan.
“Ketua Balai Polis Damansara telah memanggil pengadu untuk memberikan keterangan tetapi orang itu gagal hadir dengan pelbagai alasan seperti perlu menghadiri mesyuarat dan sedang sakit.
“Tiada perkembangan baru dalam siasatan kes tersebut,” katanya dipetik Scoop.
Pada Rabu, seorang pengawal keselamatan dilaporkan menemui bagasi berwarna merah jambu dan putih berisi di kawasan letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya.
Keesokan harinya, Hussein memberitahu sidang media, bagasi berkenaan mengandungi wang kertas bverjumlah lebih RM500,000 membabitkan not RM10, RM50 dan RM100.
Sementara itu, pengawal keselamatan, Sherpa Dawa, menerima anugerah daripada majikannya, A5 Security Service, atas perbuatan yang jujur kerana menyerahkan bagasi tersebut kepada pihak berkuasa.
Melalui catatan di Facebook, syarikat terbabit juga mengucapkan tahniah kepada warga Nepal berusia 39 tahun itu.
“Kami berbangga untuk berkongsi bahawa pegawai keselamatan kami yang berdedikasi, Encik Sherpa Dawa, diiktiraf dan diberi penghormatan atas integriti dan kejujurannya yang luar biasa.
“Komitmen tanpa goyah Dawa terhadap tugasnya dan kejujuran yang luar biasa tidak disedari,” kata syarikat berkenaan.