Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesPengerusi baru JK Mitra dicabar siasat program bantuan komputer riba

    Pengerusi baru JK Mitra dicabar siasat program bantuan komputer riba

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Pengerusi baru Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) P Prabakaran dicabar untuk menyiasat program bantuan komputer riba refurbished (komputer lama yang diperbaharui semula).

    Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam mendakwa program tersebut sebagai satu ‘misteri’ dan perlu disiasat mengenai ketelusannya.

    “Perkara paling asas adalah kenapa program bantuan memberikan komputer riba refurbished dan bukannya komputer riba baru.

    “Dengan peruntukan tahunan RM100 juta, saya percaya Mitra tidak ada masalah untuk menyediakan komputer riba baru kepada sekolah-sekolah Tamil.

    “Ini kerana tiga daripada empat ahli JPPK sebelum ini mengesahkan bahawa mereka tidak setuju dengan pemberian komputer riba refurbished. Jadi, siapa yang cadangkan dan kenapa nasihat tiga ahli JPPK tidak diendahkan?” katanya kepada Malaysiakini.

    Sebelum ini, seorang ahli dan dua bekas ahli JPPK berkata bahawa mereka menolak cadangan membeli komputer riba refurbished, dan sebaliknya bertegas untuk menyediakan komputer riba baru kepada sekolah secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

    Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran yang masih ahli JPPK, dan bekas ahli Senator Sivarraajh Chandran dan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau sebelum ini memberitahu bahawa ketiga-tiga mereka tidak setuju dengan cadangan membeli komputer riba refurbished dalam mesyuarat pertama.

    Namun, ketiga-tiga mereka berkata keputusan untuk memberikan komputer riba refurbished diambil dalam mesyuarat kedua yang tidak dapat dihadiri oleh mereka.

    S Subramaniam

    “Memang satu misteri, ada pihak dalam mesyuarat kedua bertegas nak memberi komputer riba refurbished, walaupun ditolak oleh tiga ahli jawatan kuasa khas dalam mesyuarat pertama.

    “Ini yang kita nak Prabakaran siasat,” katanya.

    Pada 7 Feb, Prabakaran yang juga ahli parlimen Batu dilantik sebagai pengerusi JPPK Mitra menggantikan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan, yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

    ALSO READ:  ESEI FOTO | Bekas mak nyah si pembuat batu nisan

    Ramanan dilantik mengetuai jawatankuasa khas tersebut pada April 2023.

    Empat lagi yang dilantik menjadi ahli jawatankuasa badan itu pada ketika itu ialah Sivarraajh, Ganabatirau, Yuneswaran dan Ketua Pengarah Mitra, K Raveendran Nair.

    Siasat jumlah peruntukan

    Selain itu, Subramaniam juga berkata JPPK baru juga perlu siasat jumlah peruntukan yang disediakan untuk program berkenaan.

    “Berdasarkan kertas cadangan, sebanyak RM3 juta disediakan untuk 6,000 komputer riba refurbished pelbagai jenama. Maknanya, satu komputer berharga RM500 dan harga itu memang sangat mahal jika dibandingkan harga pasaran sebuah komputer riba refurbished dijual dalam sekitar RM200 hingga RM300 sahaja.

    “Peruntukan ini tidak termasuk kos penghantaran RM263,500 untuk 527 sekolah Tamil di seluruh negara. Peruntukan ini memang tidak masuk akal,” katanya.

    Malaysiakini juga melihat kertas cadangan itu dan usaha untuk mendapatkan pengesahan mengenai maklumat yang terdapat dalam kertas cadangan itu daripada pihak Mitra tidak berjaya.

    Untuk rekod, program pemberian komputer riba refurbished kepada 527 sekolah Tamil oleh Mitra menjadi isu selepas ibu bapa dan guru mengadu bahawa komputer riba yang diterima terpaksa dihantar untuk dibaiki hanya beberapa minggu selepas menerimanya.

    Namun, Mitra mempertahankan program tersebut.

    Menurut Pengarah Ekonomi dan Kerja Mitra Suresh Ramasamy setiap perananti menelan kos RM500 termasuk kos menaik taraf, menghantar dan menyelenggara komputer riba.

    Pulangkan komputer riba

    Bagaimanapun, ketika dihubungi, beberapa sekolah memberitahu Malaysiakini bahawa komputer riba yang disediakan tidak dapat digunakan untuk sistem pembelajaran dan pengajaran (PdP).

    “Sekolah kami terima 20 komputer riba pada lewat November tahun lepas. Tapi, kami tak dapat gunakan komputer riba, sebab perisian yang disediakan dalam komputer riba itu tidak menyokong sistem pendidikan kita.

    ALSO READ:  Ketua Wanita MCA pertama meninggal dunia

    “Kami tak boleh muat turun apa jua aplikasi disediakan oleh KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia),” kata seorang guru yang tidak mahu namanya didedahkan.

    Sementara itu, seorang lagi wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah Tamil di Selangor yang juga tidak mahu namanya didedahkan berkata pihak sekolahnya telah mengembalikan kesemua komputer riba yang diberikan.

    “Kami tak gunakan dan telah mengembalikan kesemuanya kerana tak puas hati kualiti komputer riba itu,” katanya.

    Bawa ke PAC

    Sementara itu, Subramaniam berkata bahawa dia akan membawa isu ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya Prabakaran tidak membuat siasatan.

    “Kami MIPP telah pun berbincang dengan beberapa ahli PAC, dan mereka sangat berminat untuk siasat program ini. Jika, Prabakaran tidak berani, kami akan ketuk pintu PAC,” katanya.

    Ketika dihubungi, Prabakaran berjanji akan melihat isu program bantuan komputer riba berkenaan.

    “Saya baru dilantik pada 7 Feb. Belum pun masuk ke pejabat Mitra.

    “Saya masih menunggu pelantikan ketua pengarah Mitra yang baru. Selesai pelantikan ketua pengarah, saya akan ambil alih.

    “Saya berjanji akan meneliti semua program di bawah Mitra sebelum ini termasuk program bantuan komputer riba ini,” katanya.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts