Seorang penghantar barang maut selepas terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan arus dalam kejadian di Kampung Gerai, Jertih malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kemalangan kira-kira jam 8 malam itu dipercayai berlaku apabila Wan Muhammad Khuzaimie Abu Sepian hilang kawalan ke atas motosikal Yamaha Ego LC yang ditunggangnya.
Katanya ketika kejadian Wan Muhammad Khuzaimie, 24, sedang dalam perjalanan dari Kampung Layout Gerai menghala ke Kampung Gerai Tua untuk pulang ke rumah keluarganya.
“Apabila tiba di tempat kejadian dia hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan bahu jalan lalu terjatuh ke dalam tali air.
“Mangsa kemudian dihanyutkan arus sejauh kira-kira satu kilometer.
“Akibat kemalangan tersebut mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Abdul Rozak berkata mayat lelaki terbabit dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibezah siasat, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– Bernama