Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi wanita terbabit.
Hafizul Hawari, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Azrol Abdullah.
“Faham (pertuduhan) tidak mengaku bersalah,” katanya.
Hafizul didakwa cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan kedua itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Hafizul yang memakai baju T berwarna hitam dikawal ketat oleh pasukan polis semasa tiba di Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira jam 8.15 pagi.
[Laporan lanjut menyusul]