Seorang peniaga kedai runcit mengalami kerugian sebanyak RM922,300.87 akibat penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai polis bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu mengesahkan mangsa berusia 50-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang menyamar sebagai Sarjan Tan, seorang anggota polis Perak.
Suspek yang tinggal di Simpang Ampat mendakwa terdapat kes penipuan melibatkan pengurus sebuah bank yang telah berhenti kerja, dan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan menggunakan akaun bank.
“Walaupun mangsa menafikan terlibat dalam kes tersebut, Sarjan Tan memaksa lelaki terbabit mengikut arahannya sekiranya tidak mahu ditangkap,” katanya.
Mangsa kemudiannya diarahkan untuk meninggalkan kad bank ATM dan nombor akaun bank tanpa perlu berjumpa dengan suspek di sebuah lokasi di Simpang Ampat pada 20 Disember tahun lepas.
Pada 3 Januari lepas, mangsa diarahkan membuka cek bank atas nama sebuah syarikat suspek sebanyak RM420,000 dan memasukkannya ke dalam mesin cek sebuah bank di daerah itu.
Enam hari kemudian, mangsa mendapati terdapat beberapa transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun yang tidak dikenali berjumlah RM502,300.87 antara 21 Disember tahun lalu hingga 8 Januari tahun ini.
Pada 9 Januari, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon meminta membuat transaksi pemindahan wang namun kali ini mangsa menyedari penipuan berlaku dan enggan memenuhi arahan tersebut.
Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-Bernama