Amanah perlu menampilkan watak-watak yang ‘segar’ apabila melantik pemimpin di peringkat Negeri dalam usaha menjadikan parti itu lebih diterima orang Melayu-Islam.
Penganalisis politik, Prof Madya Mazlan Ali, berkata tindakan tersebut adalah penting kerana kekuatan Amanah juga akan memberi sumbangan kepada pengukuhan PH.
Justeru kata ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, suatu langkah perubahan mesti dilakukan demi kelangsungan Amanah pada masa depan.
“Pertama, mereka (pemimpin nasional) perlu melantik kepimpinan baru di peringkat Negeri yang boleh membawa ‘wajah segar’ terhadap Amanah.
“Tidak salah mengetengahkan pemimpin muda dalam lingkungan umur antara 35 hingga 45 tahun untuk memimpin parti di peringkat Negeri.
“Kedua, Amanah perlu memastikan pemimpin yang mengetuai Negeri itu tidak kontroversi dengan isu-isu peribadi atau ada masalah dengan ketua-ketua kawasan serta pemimpin akar umbi,” katanya kepada Malaysiakini.
Mazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penstrukturan kepemimpinan Amanah di peringkat Negeri yang diperlukan selepas konvensyen nasional parti itu berakhir pada bulan lalu.
Baru-baru ini Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mengumumkan senarai penuh jawatankuasa pimpinan Amanah Nasional susulan mesyuarat pertama parti selepas konvensyen berkenaan.
Menurut Faiz lagi, pelantikan pengerusi Amanah di peringkat Negeri akan dibuat dalam mesyuarat yang akan datang.
Pembentukan struktur parti di peringkat Negeri menarik perhatian sesetengah pihak selepas wujud cadangan agar presiden parti itu, Mohamad Sabu, digantikan dengan pemimpin lain sebelum ini.
Ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa wujud rasa tidak puas hati sesetengah pihak dalam Amanah terhadap kepemimpinan Mohamad.
Keputusan pengundian bagi sesi 2023-2026 juga menunjukkan populariti Mohamad merosot apabila berada di kedudukan kelapan dalam senarai 27 ahli jawatankuasa pusat yang dipilih.
Berada di kedudukan pertama dengan mendapat undi tertinggi ialah Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, manakala tokoh yang disebut-sebut sesuai mengisi jawatan presiden, Mujahid Yusof, berada di kedudukan keempat.
Kata Mazlan, pengerusi Amanah Negeri mestilah dipilih dalam kalangan individu yang dikenali, berimej bersih, sangat rajin bekerja serta kreatif mencetuskan program-program di peringkat akar umbi.
Katanya keadaan lebih mendesak buat Amanah apabila parti itu perlu memilih pemimpin bagi mengetuai parti di Negeri dikuasan PN.
“Bagi Negeri-Negeri yang sukar ditembusi (kerana) pengaruh PAS, pengerusi Negeri itu menggalas tanggungjawab berat.
“Justeru perlu dipilih dalam kalangan individu yang serba boleh, serta diterima semua parti komponen kerajaan perpaduan termasuk Umno yang memainkan perananan penting di Negeri-Negeri berkenaan,” jelasnya.