Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan agensi yang mengendalikan permohonan visa Malaysia pekerja asing warga Bangladesh, menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menyatakan bahawa permohonan oleh majikan kini boleh dilakukan melalui sistem MyVisa milik Jabatan Imigresen menggunakan ID aktif dan manual pengguna yang akan diberikan oleh kerajaan.
“Majikan bertanggungjawab untuk mempercepat proses kemasukan pekerja asing berdasarkan kuota yang diluluskan (berkaitan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0).
“Di Jabatan Imigresen, permohonan visa atau eVisa boleh diproses dalam tempoh satu hingga dua hari oleh majikan sendiri,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau juga menggesa majikan untuk memanfaatkan sistem tersebut agar proses permohonan visa menjadi lebih cekap dan cepat.
Sementara itu, Saifuddin menggesa sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO) Human Right Watch (HRW) untuk menyediakan bukti insiden penderaan dan kematian yang melibatkan kanak-kanak dan wanita di depot Imigresen di negara ini.
“Ini untuk membolehkan kami membuka kertas siasatan dengan kadar segera. Dengan maklumat lengkap, saya tidak akan berlengah-lengah (untuk menyiasat) dan kami di KDN mengambil serius perkara tersebut,” katanya.
Beliau juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan NGO tersebut untuk membincangkan perkara tersebut.
HRW melalui sebuah laporan mendakwa lebih 1,400 kanak-kanak ditahan dengan sebahagian daripadanya dipisahkan dari keluarga atau bersendirian.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin menyatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan dengan isu ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace.
Katanya kerjasama ini akan menyemak ajaran tersebut secara menyeluruh sekiranya terdapat ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
“Saya akan bekerjasama dengan Datuk Dr Mohd Na’im (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya yang juga mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis berkaitan dengan perkara tersebut diterima.
Semalam, media melaporkan bahawa Mohd Na’im turut mengesahkan bahawa ajaran tersebut bertentangan dengan syariat Islam.
-Bernama