Di sebalik sikap ‘dingin’ ditunjukkan MCA setakat ini khususnya melibatkan pilihan raya kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu, kerajaan yakin parti komponen BN itu kekal bersama Putrajaya.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak timbul isu parti itu enggan lagi bekerjasama dengan kerajaan perpaduan.
Ditemui media di majlis Karnival Pencegahan Jenayah di Cheras, Kuala Lumpur hari ini Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH menambah dia yakin MCA akan kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan dan BN.
“Saya baru saja – beberapa hari lepas – menghadiri pertemuan antara pemimpin kerajaan perpaduan.
“Saudara Wee Ka Siong (presiden MCA) ada, dia duduk sebelah saya pun.
“Ketika saya mempengerusikan mesyuarat PH dan BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur minggu lepas, wakil MCA juga hadir,” katanya.
Keberadaan MCA bersama kerajaan kadang-kadang menjadi perhatian ekoran sikap ditunjukkan parti itu kepada kerajaan, khususnya melibatkan individu dari DAP.
Antara isu yang pernah disentuh MCA ialah beberapa langkah diambil oleh Kementerian Pengangkutan yang kini diterajui Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Simbol tetap bekerjasama
Untuk rekod dalam keadaan sebelum ini Wee merupakan Menteri pengangkutan.
Ketegangan hubungan di antara MCA dan DAP juga dapat dilihat daripada kenyataan Loke bahawa dia sebenarnya “bukan tak suka BN” tetapi hanya “saya tak suka MCA”.
Isu tersebut semakin menarik perhatian ramai apabila MCA menjarakkan diri daripada kempen di Kuala Kubu Bharu atas alasan calon yang diturunkan di situ bukan dari parti komponen BN.
Kerusi DUN berkenaan secara tradisinya adalah milik MCA sebelum calon mereka dikalahkan oleh Lee Kee Hiong pada 2013. Mendiang mempertahankan kerusi tersebut untuk DAP-PH sejak itu.
Pada 23 April lalu Wee menganggap pihak yang mengharapkan MCA berkempen di Kuala Kubu Bharu sebagai “goblok” jika melihat kepada sikap ditunjukkan pemimpin DAP.
Sebelum ini MIC juga mengambil sikap menjarakkan diri daripada PRK Kuala Kubu Bharu sebelum mengambil keputusan sebaliknya dengan membuka bilik gerakan di situ pada 24 April lalu.
Saifuddin berkata dengan perkembangan yang dilihatnya dalam kerajaan, dia yakin MCA masih bersama-sama dengan BN dan kerajaan perpaduan.
“Saya anggap kehadiran (pemimpin MCA dalam program kerajaan) itu sebagai simbol dan kesediaan mereka bekerjasama.
“Saya melihat isu ini dari sudut positif,” katanya.
Ketika ini MCA mempunyai dua wakil di Dewan Rakat iaitu Wee bagi kerusi Ayer Hitam dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).