Pakatan Harapan perlu mencipta pendekatan yang unik dalam usaha untuk memulihkan negara ke landasan yang betul, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.
Dalam hantaran di Facebook, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat menyatakan bahawa Pemukiman Pakatan Harapan 2024 akan menjadi medan untuk menggerakkan agenda rakyat serta meningkatkan naratif penerangan.
“Sewaktu ucapan pembukaan selaku Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, saya singgung beberapa perincian yang perlu diberi tumpuan khusus oleh rakan-rakan pimpinan. Ketika situasi cukup mencabar dalam usaha meletakkan negara kembali di atas landasan yang tepat, pendekatan Pakatan Harapan juga perlu lebih dari kebiasaan.
“Insya-Allah muafakat persahabatan ini kita perkukuhkan dan jalan ke hadapan bagi menggerakkan agenda rakyat serta naratif penerangan mesti dipertingkatkan,” katanya.
Pemukiman Pakatan Harapan berlangsung selama dua hari bermula semalam di Putrajaya dan melibatkan pimpinan utama parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.
– Bernama