Analisis ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nur Jazlan Mohamed mengenai kemenangan Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Pulai Sabtu lalu mendapati bahawa Pakatan Harapan (PH) tetap memerlukan Umno. Selain itu, katanya, analisis mudahnya mendapati bahawa penyokong tegar Umno kini sudah mula menerima kerjasama BN-PH manakala sokongan Cina kepada DAP tidak pernah tergugat.
Ini di sebalik isu-isu nasional yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
“Daripada jumlah 48,823 undi diterima calon PH di Parlimen Pulai, berdasarkan analisis mudah, kira-kira 10,000 undi itu datang daripada pengundi Melayu, khususnya ahli akar umbi Umno.
“Angka itu menunjukkan gerak kerja jentera Umno Pulai akhirnya berjaya memberi penerangan dan pencerahan serta sedikit sebanyak mampu memberi keyakinan kepada pengundi Melayu mengenai kerjasama politik BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dia yang juga adalah ketua Umno Pulai berkata, pada awal-awal kempen, ada segelintir penyokong parti yang masih ragu-ragu terhadap keputusan mereka bekerjasama dengan PH selepas PRU15. Ini kerana mereka belum mendapat gambaran sebenar kerajaan campuran itu.
“Kita berjaya memberi sedikit keyakinan serta membuka mata ahli akar umbi tentang perlunya kerjasama BN-PH demi kelangsungan politik Umno.
“Itu adalah satu isyarat bahawa akar umbi Umno masih wala’ atau setia kepada aspirasi kepimpinan bahagian dan cawangan,” katanya.
Sabtu lalu, calon PH, Suhaizan Kayat memenangi kerusi Pulai dengan majoriti 18,641 undi sekali gus mempertahankan kerusi disandang Allahyarham Salahuddin Ayub.
Pertandingan itu menyaksikan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tersebut memperoleh 48,283 undi mengetepikan saingan calon PN, Zulkifli Jaafar (29,642 undi) dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, mengikut analisis dibuatnya di 40 peti undi di Parlimen Pulai, biarpun calon PH hanya meraih kira-kira 10,000 undi daripada pengundi Melayu dan Umno, angka itu tetap signifikan.
Katanya, ini memberikan petunjuk yang jelas tentang kedudukan sokongan orang Melayu kepada calon PH bahawa mereka tetap memerlukan Umno untuk menang.
“Bagaimanapun, undi Cina memang tetap ‘solid’ kepada PH terutamanya DAP kerana sekarang ini, orang Cina tiada pilihan lain untuk mereka percaya. Walaupun calon Melayu yang jadi taruhan di sesuatu kerusi, kiblat mereka tetap pada PH kerana mereka tak berani nak percaya PN yang ada PAS di dalam gabungan itu.
“Ia tak sama seperti 10 hingga 15 tahun lalu, orang Cina ada pilihan untuk pilih MCA atau Gerakan, tetapi, selepas dua-dua parti itu mereka lihat tidak mampu perjuangkan hak dan kepentingan mereka lagi, mereka beralih kepada DAP.
“Yang tinggal sekarang ini, macam mana DAP nak tolong pula untuk yakinkan lebih ramai pengundi Melayu berikan sokongan kepada PH di Pulai dalam tempoh tiga tahun akan datang,” soalnya.