Individu yang menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) memang wajar dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan tersebut amat serius dan boleh menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat, kata ahli akademik.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata tidak timbul isu pendakwaan kes berkenaan dijadikan sebagai ‘senjata politik’ sebaliknya tindakan undang-undang perlu diambil bagi menjamin kestabilan negara dan menghormati institusi diraja.
Dia berkata berdasarkan pemerhatiannya, ramai yang semakin berani mengeluarkan kenyataan sensitif berhubung 3R yang jika tidak dibendung akan mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Mungkin sudah tiba masanya kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memikirkan keperluan mewujudkan akta khusus 3R bagi membendung kenyataan-kenyataan berbaur hasutan yang nampaknya tidak berkesudahan,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu Mujibu berkata sudah tiba masanya ahli politik di negara ini bersaing secara sihat dan matang tanpa menggunakan isu 3R untuk meraih sokongan.
“Politik adalah saingan idea dan penawaran alternatif bagi memperoleh kesempurnaan, bukannya politik secara Machiavellian,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata apabila isu sensitif dimainkan sesetengah pihak, ia boleh melemahkan usaha mewujudkan sebuah negara yang harmoni dalam pelbagai konteks termasuk sosial, politik dan ekonomi.
Dia berkata tidak salah untuk mengkritik dasar kerajaan bagi kebaikan rakyat dan membangunkan negara.
Bagaimanapun katanya hak kebebasan bersuara perlu diterjemahkan setiap pihak dengan cara bermanfaat, bukannya menimbulkan provokasi dan mengundang perpecahan.
“Perdana Menteri sendiri sering cakap dalam ucapannya bahawa kalau nak menyuarakan apa-apa pandangan, boleh, cuma jangan menyentuh, menghina, mencerca, memfitnah dan memanipulasikan isu 3R.
“Bagi saya beliau (Anwar) meletakkan kepentingan negara lebih utama berbanding melayan politik tidak matang,” katanya.
– Bernama