Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, mengeluarkan kenyataan pada lewat Selasa mengutuk letupan di pinggir selatan ibu negara Beirut yang membunuh seorang pemimpin kanan Hamas, menyifatkannya sebagai “jenayah baharu Israel.”
Kumpulan Palestin Hamas mengesahkan pembunuhan timbalan ketuanya, Saleh Arouri, dalam letupan itu.
Hamas berkata dua komander sayap bersenjatanya, Briged Al-Qassam, turut terbunuh.
Agensi Berita Kebangsaan rasmi Lubnan sebelum ini melaporkan bahawa Arouri terbunuh dalam serangan dron Israel ke atas pejabat Hamas di Mecherfeh di selatan Beirut.
Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan itu.
“Serangan ini bertujuan untuk mengheret Lubnan ke dalam fasa baharu konfrontasi berikutan serangan harian yang berterusan di selatan, yang mengakibatkan sejumlah besar kematian dan kecederaan,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri Lubnan berkata, Beirut bercadang untuk memfailkan aduan dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) terhadap Israel berhubung serangan itu.
Lubnan sebelum ini telah membuat beberapa aduan terhadap Israel di UNSC, termasuk kes berkaitan serangan terhadap wartawan di selatan Lubnan dan pendudukan bandar sempadan.
– Bernama – Anadolu