Bersih telah mengutuk kehadiran ramai pegawai polis di kawasan pejabat mereka di Petaling Jaya semasa sidang media berkenaan pengurangan hukuman terhadap Najib Razak.
Mereka menggambarkan kejadian tersebut sebagai “gangguan” dan menyindir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution yang bertanggungjawab terhadap urusan polis.
“Lama tak jumpa.
“Apa khabar reformasi?” soal mereka kepada Saifuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR.
Bersih juga memuat naik gambar kenderaan polis dan sekumpulan anggota polis berkumpul di sekitar pejabat mereka.
“Kehadiran ramai pegawai polis susulan sidang akhbar berkaitan (permohonan) pengampunan Najib dan tuntutan #Reformasi100peratus.
“Adakah gangguan sebegini benar-benar mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan Madani?” soal mereka di media sosial.
Sementara itu, dalam status lain, Bersih juga memberi petanda akan mengadakan perhimpunan bantahan susulan perkembangan terkini.
“Belum beli garam lagi,” kata NGO itu.
Di Malaysia, peserta demonstrasi biasanya akan mengemam sedikit garam bagi mengurangkan kesan gas pemedih mata.