Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Teluk Intan ditahan, kerana disyaki mencabul kehormatan seorang murid tahun satu di hadapan sebuah kelas, dalam satu kejadian di sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata polis bertindak menahan lelaki tempatan berusia 45 tahun itu semalam, setelah menerima laporan daripada rakan setugas suspek.
“Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi semalam sewaktu pengadu sedang meronda di kawasan sekolah tersebut.
“Menurut pengadu, suspek telah bertindak memeluk dan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan yang berusia tujuh tahun di hadapan kelas sekolah tersebut, sebelum menahan suspek pada hari yang sama di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.
Ahmad Adnan berkata menurut mangsa, suspek telah beberapa kali melakukan perbuatan mencabul mangsa di sekolah yang sama dan hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek, dia mengaku terlibat dengan perkara tersebut.
Beliau berkata suspek kini direman enam hari bermula hari ini sehingga 6 Feb, untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan,” katanya.
– Bernama