Dakwaan percubaan menculik bayi oleh dua warga asing di pasar raya di Klang pada Isnin lalu adalah satu salah faham.
Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bayi perempuan 19 bulan, yang berada di pasar raya itu bersama-sama ibu dan ibu saudaranya, berdepan kesukaran ekoran eskalator yang rosak.
“Kebetulan dua lelaki warga asing itu turut berada berdekatan mangsa dan mereka mengangkat mangsa dengan tujuan membantu…
“Bagaimanapun perbuatan itu disalah erti ibu mangsa yang menyangka bahawa anaknya itu cuba dilarikan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semalam, seperti dilapor Harian Metro.
Pemeriksaan mendapati dua warga asing itu bekerja secara sah di kilang berdekatan dan sering ke pasar raya itu untuk membeli barang keperluan.
Hussein berkata mereka juga tidak cuba melarikan diri ketika ditangkap orang awam.
“Bagaimanapun, kertas siasatan akan kita lengkapkan dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.
“Saya juga menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya memegang anak orang lain terutamanya yang tidak dikenali kerana ia akan menimbulkan salah faham dan panik,” katanya lagi.
Gambar dan video insiden itu telah tular di media sosial, dengan wajah dua warga asing itu tidak dikaburkan.