Polis Johor akan menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan seorang pegawainya melakukan kekerasan terhadap seorang individu di tempat awam.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya mengesan video sepanjang 37 saat itu menerusi laman X pada petang tadi, yang turut memetik nama pegawai polis berkenaan berserta jawatannya sebagai ketua polis balai.
“Hasil semakan mendapati pada 12 Januari 2024 jam 3.11 petang, satu hantaran telah dimuat naik melalui akaun tersebut dan turut memetik nama dan jawatan pegawai polis berkenaan.
“Pihak polis akan menyiasat perkara ini dengan terpeinci dan menggesa orang awam atau saksi tampil membuat laporan jika mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.
“Tindakan akan diambil terhadap pihak berkaitan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, video memaparkan seorang petugas polis mengasari seorang lelaki tular di media sosial.
Rakaman video tersebut menunjukkan petugas polis berkenaan menengking dan menampar berulang kali serta menarik rambut lelaki tersebut.