Polis menafikan pihaknya menolak sebanyak empat kali notis perhimpunan untuk perarakan Hari Wanita 2024.
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata notis pertama yang dihantar pihak penganjur pada Jumaat lalu.
“Mereka dakwa ada empat kali dihantar tetapi kita hanya terima notis yang pertama dia hantar dan tidak lengkap.. dua, tiga, empat itu tidak tahu hantar mana,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Allaudeen juga membayangkan yang penganjur hanya memenuhi sembilan daripada 14 perkara dalam borang notis, sementara perkara lain diisi dengan palang dan pindaan.
Semalam, seorang wakil penganjur memberitahu media yang notis pertama ditolak kerana tiada surat rasmi dilampirkan, yang didakwa mereka tidak diperlukan sebelum ini.
Mereka kemudian cuba untuk menghantar semula notis menerusi kurier serta melalui peguam pada Ahad lalu.
Menurut mereka, dokumen yang dihantar pada hari Isnin – yang diterima polis – adalah sama dengan dokumen yang cuba diserahkan mereka pada hujung minggu lalu.
Perarakan wanita kali ini dijadual diadakan pada pagi Ahad ini, dengan peserta dijangka berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka.
Sementara itu, Allaudeen turut menafikan polis bertegas yang perarakan itu memerlukan permit.
Untuk rekod, permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan selepas Akta Perhimpunan Aman 2012 diwartakan bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967.
“Kita tak pernah kata permit. Bila polis kata tidak boleh bagi permit sedangkan ia tidak wujud.
“Kami tidak boleh bagi sesuatu yang tidak ada dalam undang-undang iaitu permit sebab ia sudah dimansuhkan di bawah Akta Polis,” katanya.
Terdahulu, polis termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay beberapa kali menyatakan pengajur perhimpunan perlu memohon permit.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Hussain mengesahkan permit tidak lagi diperlukan dan berkata mungkin ada kesilapan dalam komunikasi apabila ada ketua polis daerah merujuk notis sebagai permit.