Polis akan memantau penyokong parti yang memuat naik hantaran berbaur 3R (raja, agama dan kaum) di media sosial, tegas Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat. “Dalam pemantauan kita pun, kita tubuhkan pasukan untuk menyiasat ataupun memastikan dan mengawal (hantaran di media sosial seperti) TikTok dan sebagainya. “Dan apa-apa yang berlaku yang melibatkan kesalahan kita akan buat laporan polis dan kita akan jalan siasatan. “Sama ada betul atau tidak betul itu lain cerita. Siasatan kita akan jalankan,” katanya pada sidang media di Dewan Perumahan PDRM, Muar, hari ini.
Kamarul berkata demikian ketika mengulas kecenderungan sesetengah penyokong parti yang dilihat agak ekstrem dalam membuat hantaran di media sosial yang menyentuh isu 3R. Terdahulu, tular tangkap layar di media sosial individu dengan nama Iman Mustaqim dilihat memuat naik kenyataan menyentuh isu 3R.
Pada hantaran itu juga turut disertakan tangkap layar laporan berita berhubung kenyataan Sultan Selangor yang mana pemilik akuan terbabit melemparkan kata-kata kesat. Laporan berita terbabit merujuk titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah supaya pihak polis mengesan kumpulan pemfitnah yang menyebarkan dakwaan kononnya lebih 200 buah sekolah tahfiz di Negeri itu telah diarahkan tutup.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi terbabit berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas. Persaingan merebut kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru, antara PH, PN dan calon bebas.