Polis telah membuka siasatan berhubung himpunan Turun Parlimen #Reformasi100Peratus yang diadakan di laluan masuk bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya menyatakan bahawa pihaknya akan memanggil penganjur himpunan itu dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan susulan himpunan tersebut tidak memberi notis awal sekurang-kurangnya lima hari kepada polis.
“Siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.
Mengikut APA 2012, notis pemberitahuan bersama dokumen sokongan perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan tersebut diadakan.
Kira-kira 60 peserta berkumpul di Plaza Tugu Negara untuk menyertai himpunan tersebut sebelum berarak kira-kira 900 meter menuju bangunan Parlimen.
Ini bertujuan untuk menyuarakan tuntutan berkaitan dengan pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus, menolak keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap mana-mana ahli politik, serta menolak undang-undang dua darjat.
Tinjauan oleh Bernama di lokasi mendapati peserta perhimpunan yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah mula berkumpul di lokasi sejak pukul 7.30 pagi, dengan dipantau ketat oleh pihak polis.
Beberapa Ahli Parlimen seperti Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), William Leong Jee Keen (Selayang), Dr Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani) dan Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) telah menerima memorandum tuntutan dari penganjur yang diserahkan di luar bangunan Parlimen.
– Bernama