Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang komen berhubung kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selasa lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menyatakan bahawa ini didapati susulan daripada beberapa komen dan hantaran tidak wajar di aplikasi TikTok berkenaan dengan siasatan kes itu.
“Kes ini masih dalam proses siasatan jenayah oleh pihak polis dan komen-komen seperti ini tidak hanya menyebabkan kebimbangan kepada orang ramai, tetapi turut mengganggu emosi keluarga yang sedang bersedih atas kehilangan anak tersayang.
“Kami meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak semalam, tangkapan skrin yang dimuat naik di laman TikTok menunjukkan keadaan mayat Zayn Rayyan semasa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menyertai operasi mencarinya.
Mengikut laporan, selepas dilaporkan hilang tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai, kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemui meninggal dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokan harinya, lebih kurang 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Selepas proses bezah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh semalam, kematian Zayn Rayyan kini disiasat sebagai kes bunuh.
– Bernama