Tiada unsur jenayah ditemui dalam laporan yang dibuat terhadap jurugambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim oleh seorang pembantu Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz, menurut polis Kuala Lumpur. Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata tiada siasatan dibuka berdasarkan laporan polis yang dikaitkan dengan gambar yang diambil oleh Sadiq Asyraf, yang didakwa menunjukkan Ikmal Hisham menghisap vape di Parlimen.
“Daripada klasifikasi kami, kami telah memutuskan tiada siasatan kerana tiada unsur jenayah terlibat,” kata Allaudeen seperti dipetik The Star hari ini.
Menurut The Star, Allaudeen pada sidang media di Sentul berkata polis telah meneliti laporan yang dibuat di balai polis daerah Dang Wangi semalam. Laporan itu dibuat terhadap gambar yang diambil oleh Sadiq yang dimuat naik di akaun X (dahulunya Twitter) dengan keterangan: “Betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan”.
Foto itu disiarkan pada 21 Sept, diambil dua hari sebelum itu apabila Ahli Parlimen PN keluar dari Dewan Rakyat semasa ucapan penggulungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perbahasan Kajian Separa Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Ikmal Hisham semalam mengulangi penjelasannya sebelum ini bahawa objek yang dilihat dalam imej itu adalah pen yang dia angkat seketika ke bibirnya. Ahli parlimen PN itu berkata dia juga akan menjawab permintaan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk penjelasan berhubung dakwaan kejadian itu, pada masa yang sama menggesa untuk meneliti semula rakaman CCTV di kawasan itu.