Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) telah mengumumkan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pilihan Raya Presiden dan Naib Presiden (Pilpres) 2024.
Berdasarkan kiraan undi di 38 wilayah Indonesia dan 128 pusat mengundi di luar negara, Prabowo-Gibran telah mendapat 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi, mengikut pengumuman KPU pada Rabu malam.
Pasangan yang bersaing, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar mendapat 24.9 peratus atau 40,971,906 undi, manakala Ganjar Pranowo-Mahfud MD memperolehi 16.5 peratus atau 27,040,878 undi.
Hasil rumusan KPU menunjukkan bahawa Prabowo-Gibran menjadi pemenang di 36 wilayah, sementara Anies-Muhaimin memenangi dua wilayah.
Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Ketua KPU Hasyim Asy’ari melalui platform rasmi media sosialnya.
“Pesta Demokrasi” di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia pada 14 Februari diadakan untuk menentukan pengganti Presiden Joko Widodo juga dikenali sebagai Jokowi, yang menamatkan penggal kedua dan terakhir beliau pada Oktober.
– Bernama