Presiden Argentina Javier Milei telah memecat Menteri Infrastruktur Guillermo Ferraro yang disyaki membocorkan maklumat dengan sengaja selepas mesyuarat Kabinet baru-baru ini, lapor Sputnik memetik media tempatan pada Jumaat.
Selepas pemecatannya, Kementerian Infrastruktur mungkin kehilangan status bebas dan diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi negara itu, lapor akhbar Argentina La Nacion.
Sementara itu, tiada maklumat rasmi dikeluarkan berhubung pemecatan Ferraro setakat ini.
Semasa pertemuan dengan Menteri-Menteri Kabinet baru-baru ini, Milei didakwa mengancam untuk “memecat” gabenor sekiranya wakil-wakil daerah enggan menyokong pembaharuannya di Parlimen, lapor media Argentina pada Khamis, memetik maklumat yang bocor.
Pada Dis 2023, Milei menandatangani dekri kecemasan yang mencadangkan pembaharuan membabitkan semua sektor ekonomi dan sosial, termasuk melanjutkan tempoh percubaan pekerja kepada lapan bulan, menghapuskan beberapa denda untuk majikan dan pemansuhan dana insurans pengangguran. Kesatuan pekerja menentang cadangan itu di mahkamah.
Dekri darurat itu berkuat kuasa hanya beberapa hari selepas ditandatangani, tetapi masih memerlukan sokongan Ahli Parlimen. Semasa Parlimen mengkaji semula dekri terbabit, ia dianggap telah berkuat kuasa.
– Bernama-Sputnik