Presiden Iran Ebrahim Raisi menyeru para pemimpin negara-negara Islam untuk mencapai keputusan tegas berhubung isu Palestin dan melaksanakannya secara serius, lapor Agensi Berita Iran IRNA.
Beliau menyatakan pendiriannya sebelum berlepas untuk menghadiri mesyuarat luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Raisi menyatakan bahawa pertemuan tersebut menjadi harapan semua orang terutama umat Islam.
“Dijangkakan ketua-ketua negara Islam akan membuat keputusan tegas mengenai isu Palestin, dan keputusan tersebut akan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya pada Sabtu.
Beliau juga menyatakan bahawa Palestin merupakan sebab penubuhan OIC dan menyeru untuk menghentikan dengan segera serangan Israel ke atas Gaza, membuka laluan untuk membantu penduduk Gaza, menghapuskan pengepungan dan melaksanakan hak rakyat Palestin sebagai matlamat utama organisasi tersebut.
Riyadh menjadi tuan rumah sidang kemuncak luar biasa OIC pada Sabtu.
– Bernama