Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesPRK JOHOR: Pengamal media antara terawal tunai tanggungjawab

    PRK JOHOR: Pengamal media antara terawal tunai tanggungjawab

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur
    Dalam kesibukan membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, beberapa petugas media masih sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.

    Wartawan NSTP, Izlaily Nurul Ain Hussein, 36, antara pengundi awal yang tiba pada pukul 7.15 pagi di pusat mengundi di Sekolah Agama Bandar, berkata beliau memilih untuk mengundi pada waktu pagi kerana mahu menumpukan tugasannya membuat liputan PRK ini sehingga tengah malam.

    “Kematian penyandang sebelum ini Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggalkan kesan kepada kami pengamal media kerana Allahyarham dikenali sebagai mesra media dan baik dengan kami.

    “Awalnya saya keliru untuk memilih siapa wakil rakyat yang baharu, namun selepas mempertimbang, saya tawakal dan telah buat pilihan. Harapan saya agar calon yang menang nanti dapat lakukan tugas dengan baik dan perjuangkan hak masyarakat di sini,” katanya yang telah mengundi untuk kali kelima.

    Bagi Presiden Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Kempas pula berasa lega kerana selesai mengundi ketika cuaca baik.

    “Petugas SPR banyak membantu melancarkan proses pengundian bagi pengundi. Lega dapat mengundi sebelum hujan, sekarang hujan lebat di Kempas.

    “Harapan saya agar pengamal media di Johor, walaupun sibuk dengan tugas liputan PRK, janganlah melupakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

    Sementara itu, jurugambar NSTP Nur Aisyah Mazalan pula berkata hari ini merupakan hari istimewa untuknya kerana selain berpeluang memilih wakil rakyat baharu, tarikh 9 Sept tahun ini juga merupakan hari lahirnya yang ke-35 dan ulang tahun ketujuh bersama NSTP.

    Meskipun terpaksa bertugas hari ini, beliau akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Tampoi Indah, di sini, selepas selesai membuat liputan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, pagi ini.

    ALSO READ:  Tindakan geledah SPRM langgar undang-undang, kata firma guaman

    “Memori ini manis buat saya dan akan diingati sampai bila-bila kerana ini mungkin pengalaman sekali seumur hidup. Walaupun bertugas, saya tidak sabar hendak mengundi sambil menyambut hari lahir pada hari ini,” kata Nur Aisyah.

    Sementara itu, penyunting Bahasa Melayu Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hisham Abdul Hamid, yang merupakan antara pengundi terawal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 2, di Johor Bahru berkata ini merupakan pengalaman pertamanya mengundi di pusat pengundian.

    Beliau yang bekerja di ibu pejabat Bernama di Kuala Lumpur, berkata sebelum ini beliau hanya mengundi secara pos disebabkan perlu bertugas setiap kali pilihan raya umum mahupun pilihan raya Negeri.

    “Sepatutnya pagi ini pun saya bertugas di sebelah pagi, tetapi mendapat pelepasan untuk balik mengundi,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

    Sebanyak 165,509 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Pulai, sementara bagi DUN Simpang Jeram melibatkan 40,301 pengundi yang akan memilih wakil rakyat baharu hari ini.

    Kedua-dua PRK diadakan serentak hari ini susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas. – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts