Amanah mempunyai strategi tersendiri dalam menarik sokongan pengundi Melayu menyokong calon kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.
Tanpa mendedahkan strategi tersebut, Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu mampu dicapai melalui kerjasama dan gerak kerja tersusun jentera-jentera komponen parti dalam kerajaan perpaduan.
“Dengan penggemblengan tenaga semua jentera Perpaduan dan trend kedamaian, ketenteraman dan keharmonian yang dibawa kerajaan perpaduan, saya yakin masyarakat akan mengekalkan trend ini pada PRK kelak,ā katanya.
Dzulkefly berkata demikian ketika ditemui pada menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor hari ini.
Dia yang juga Menteri Kesihatan berkata setiap parti yang membarisi kepimpinan kerajaan perpaduan perlu tampil bersatu dan memberikan sepenuh sokongan bagi memastikan kemenangan calon yang dipertaruhkan kelak.
Dzulkefly berkata keputusan PRK itu juga harus membawa isyarat jelas dan melonjakkan lagi kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan dalam memacu kecemerlangan negara.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
-Bernama