Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selama 14 hari berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata penugasan sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian hanya melibatkan Polis Kontinjen Johor dengan kekuatan seramai 3,490 pegawai dan anggota.
“Ini bukan kali pertama Kontinjen Johor berdepan pilihan raya. Dengan peranancangan teliti dibuat, kekuatan 3,490 pegawai dan anggota mencukupi mengikut keperluan yang ada.
“Tinjauan proses pengundian setakat pagi ini juga lancar, walaupun hujan tadi. Kita berharap agar kelancaran ini berterusan sehingga ke akhir proses pengundian,” katanya selepas meninjau proses mengundi bagi Parlimen Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru hari ini.
Seramai 205,810 pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram layak mengundi bagi memilih wakil rakyat baharu susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Bagi proses pengundian di Parlimen Pulai, sebanyak 47 pusat pengundian melibat 294 saluran dibuka, manakala di Simpang Jeram melibatkan 14 pusat mengundi dengan 68 saluran disediakan.
– Bernama