Bahang pilihan raya kecil (PRK) bagi parlimen Pulai semakin dirasai dengan sejumlah 927 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal untuk kerusi parlimen berkenaan pagi ini.
Dua pusat pengundian dibuka iaitu di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi. Ia dibuka serentak pada 8 pagi ini sebelum ditutup secara berperingkat iaitu pada 12 tengah hari dan 5 petang.
Bagi proses pengundian awal, sebanyak tiga saluran disediakan di dua pusat pengundian tersebut melibatkan 46 pengundi di Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Markas PPM Wilayah Dua.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia yang dikeluarkan Sabtu lalu, cuaca bagi kawasan Parlimen Pulai hari ini diramalkan cerah pada sebelah pagi dan hujan pada sebelah petang.
PRK parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.
PRK Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH Suhaizan Kaiat, calon PN Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut ialah pada Sabtu ini.
– Bernama