Tiada insiden di luar kebiasaan yang dilaporkan kepada pihak polis setakat ini sepanjang proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Simpang yang sedang berlangsung, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Tak ada sebarang insiden yang menarik perhatian dan semuanya lancar.
“Saya difahamkan setakat jam tiga petang peratusan jumlah keluar mengundi ialah sebanyak 51 peratus dan kita ada lagi tiga jam. Jadi saya harap pengundi semua keluar laksanakan tanggungjawab mereka dalam proses demokrasi kita,” katanya.
Sebanyak 14 pusat pengundian melibatkan 68 saluran di DUN Simpang Jeram dibuka daripada pukul lapan pagi hingga pukul enam petang.
Mengulas insiden pengamal media dikasari pegawai pengiring seorang Menteri semalam, Ayob berkata tiada laporan polis dibuat setakat ini.
“Saya pun belum dapat laporan penuh daripada polis. Biasalah kadang-kadang dalam keghairahan. Tak ada laporan polis dibuat (setakat ini).
“Saya difahamkan insiden itu mungkin timbul ketika Menteri dalam perjalanan untuk naik kenderaan. Mungkin di belakang itu adalah sedikit tolak menolak,” katanya.
Bagaimanapun Ayob berkata pihaknya sedang menunggu laporan lanjut berhubung insiden terbabit.
Semalam, Pengerusi Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak dilaporkan mendakwa dua wartawan wanita dikasari pegawai pengiring seorang Menteri ketika membuat liputan program kempen PRK di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru, Selasa lalu.
Mohamad Fauzi berkata perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petugas media mengenai isu keselamatan dan ia dan tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana pilihan raya.