PRK PELANGAI | Nampaknya persamaan antara Pesta Tanglung dan logo PAS adalah imej bulan. Itulah satu-satunya persamaan antara keduanya.
Petang semalam, PAS dan PN menganjurkan program sempena perayaan itu di pekan Telemong, yang bermula dengan nyalaan tanglung ketika hari masih siang.
Ia disusuli dengan situasi janggal di mana hanya beberapa kanak-kanak – yang belum layak mengundi – menyertai aktivis PN diketuai Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali untuk memegang tanglung, bagi menandakan permulaan program.
“Kita bawa kuih bulan yang dibuat oleh Muslimat PAS. Kita belajar budaya Cina, (termasuk permulaan) Pesta Tanglung dan kuih bulan.
“Kita nak sampaikan mesej yang kita walk the talk…Bahawa PAS bukan hanya untuk satu kaum…Ada Melayu, Cina, India dan termasuk Orang Asli. Inilah adik-beradik kita dalam PN,” kata Halimah dalam ucapannya.
Kemuncak program itu adalah apabila calon PN Kasim Samat diundang untuk memotong kek.
“Kek ini special, ada naga,” katanya merujuk kek tersebut yang berwarna hijau dengan dua aising naga di atasnya.
Kek itu kemudian dikongsi bersama jentera kempen PN.
Halimah menyifatkan Kasim sebagai bukan orang asing di Telemong, memandangkan naib yang dipertua PAS Bentong itu sering menghadiri acara yang dianjurkan pelbagai kaum di kawasan itu.
Dia turut menggesa pengundi agar memilih Kasim bagi meningkatkan perwakilan pembangkang di DUN Pahang. PN kini memegang 17 daripada 42 kerusi DUN di Negeri itu.
Pesta Tanglung merupakan perayaan yang bermula kira-kira 3,000 tahun lalu, bagi menandakan musim menuai di banyak kawasan di Asia Timur. Ia turut melibatkan legenda pemberontakan terhadap dinasti Yuan.
Pada zaman sekarang, Pesta Tanglung disambut dengan amalan berkongsi kuih bulan dan perkumpulan keluarga pada hari ke-15 bulan kelapan kalendar Lunar, iaitu hari ini.
PH ‘penipu’
Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Chin Choy Hee pula menyifatkan PH sebagai “penipu” kerana gagal menurunkan harga minyak dan memastikan kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Negara kita sedang parah. (Pengundi) tidak sepatutnya dibohongi,” katanya dalam ucapan.
China merupakan bekas naib pengerusi DAP Raub. Dia keluar parti itu pada 2018.
Pada PRU14, PAS meletakannya sebagai calon di DUN Tras namun dia hanya meraih 1,506 undi dan hilang deposit.
DUN Pelangai merangkumi 72 peratus pengundi Melayu, 19.2 peratus pengundi Cina dan 5.82 peratus pengundi India.
[Baca berita asal]