Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh, hari ini mengumumkan parti itu tidak lagi menjadi pembangkang, sebaliknya menyokong penuh kerajaan perpaduan.
Kata Wong PSB juga memberi sokongan kepada kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Abang Johari Openg.
Pengumuman itu dibuat selaras dengan rancangan penggabungan PSB dengan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP).
Perkara itu diumumlan pada perhimpunan bersama PSB-PDP di Sibu.
“Disebabkan perubahan politik semasa dalam Negeri dan negara, PSB terpaksa menilai semula perananan kami dalam arena politik.
āKami menyokong penuh kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dan kerajaan Negeri pimpinan Abang Johari,ā kata Wong seperti dipetik portal berita The Vibes hari ini.
Pemimpin PSB pada Julai lalu menandatangani perjanjian dengan Presiden PDP Tiong King Sing di Kuala Lumpur untuk membentuk kerjasama antara satu sama lain di peringkat Negeri dan nasional.
“PSB akan bergabung dengan PDP,” kata Wong sambil menyatakan keyakinannya langkah tersebut akan membawa mereka menjadi salah satu parti terbesar di Sarawak.
PSB memiliki 80,000 ahli dan PDP pula hampir 100,000 ahli.
Untuk rekod PSB tidak mempunyai wakil di Dewan Rakyat meskipun Wong pernah menjadi ketua pembangkang di DUN Sarawak.
Di peringkat Negeri PSB mempunyai tiga Adun termasuk Wong sendiri (Bawang Assan), selain Johnical Rayong (Engkili) dan Baru Bian (Bakelalan).
Dengan itu hanya tinggal dua Adun pembangkang di dewan undangan Negeri iaitu wakil Chong Chien Jen dan Violet Yong (DAP). Adun Batu Lintang, See Chee How, pula menjadi wakil rakyat bebas.