Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik rombakan kabinet dan pengguguran V Sivakumar daripada jawatan Menteri sumber manusia.
Dalam satu kenyataan, parti itu menyifatkan amat sukar untuk bekerjasama dengan Sivakumar sebelum ini, terutama dalam menangani isu membabitkan hak-hak pekerja.
“Kami amat teruja apabila Menteri sumber manusia ditukar,” kata timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang juga bekas timbalan Menteri kewangan II, akan menerajui portfolio sebagai Menteri sumber manusia.
Pada Mei lalu, kontrak lima pembantu Sivakumar ditamatkan berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai skandal berkaitan pengambilan pekerja asing.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu turut disoal siasat berhubung isu tersebut.
Sementara itu Arutchelvan turut memuji Anwar susulan rombakan kabinet yang diumumkan perdana Menteri, termasuk melantik muka baru dan kemunculan semula beberapa bekas pemimpin.
Katanya, meskipun saiz kabinet meningkat daripada 28 kepada 31 anggota, namun rombakan menunjukkan Anwar mendengar kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
“Memandangkan PM kini mempunyai majoriti dua pertiga yang kukuh dan dakwaannya bahawa bumbung kabinet kini kukuh, kami berharap reformasi institusi sebenar akan dilaksanakan dan matlamat dan impian reformasi yang lama terlaksana.
“Kabinet sekarang juga mempunyai lapisan ahli politik yang matang dan berpengalaman. Kami mendoakan yang terbaik buat mereka,” tambahnya.