Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji pencapaian Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) selama lebih 20 tahun sebagai kejayaan luar biasa di persada antarabangsa, menjadikannya antara tiga pelabuhan utama di Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-15 dalam senarai pelabuhan utama dunia.
Beliau menyatakan bahawa kawasan pelabuhan yang terletak di Gelang Patah, yang pada awalnya merupakan perkampungan nelayan, kini telah menjadi hab pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia.
āPelaburan sebanyak RM8.7 bilion telah dibelanjakan untuk pembangunan terminal PTP, yang turut menarik pelaburan langsung asing dan tempatan sebanyak RM4.4 bilion, menjana lebih daripada 20,000 peluang pekerjaan,ā katanya.
āSaya percaya kejayaan membanggakan ini adalah hasil daripada peranancangan yang baik serta pengurusan yang mantap dan cekap.
“Lebih daripada itu, PTP tidak mungkin mencapai kejayaan yang terkini tanpa komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh tenaga penggerak di PTP,ā katanya dalam hantaran di laman rasmi Facebook beliau hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa pelaburan dalam PTP telah menghasilkan limpahan rantaian ekonomi seperti peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi, yang memberi manfaat kepada rakyat Johor dan Malaysia keseluruhannya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut meluangkan masa sekitar 30 minit untuk beramah mesra bersama kakitangan PTP serta kumpulan MMC, sambil mendengar pembentangan ringkas mengenai cadangan pembangunan jangka masa panjang terminal tersebut.
āSaya bersedia memberi pertimbangan sewajarnya.
āSaya komited untuk menyokong dan mempermudah sebarang usaha sama, sama ada melibatkan syarikat berkaitan kerajaan atau swasta, terutamanya bagi industri atau kegiatan strategik yang penting bagi negara, untuk membangunkan dan meningkatkan martabat negara,ā katanya.
– Bernama