Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi menggesa peguam negara yang baru, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menyegerakan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tommy Thomas.
Puad berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mendorong Ahmad Terrirudin, yang akan mula bertugas Khamis ini, untuk menyegerakan RCI.
“Jangan tangguh lagi. Rakyat bosan menunggu. Lagi pun itu keputusan Kabinet. Apa istimewanya Tommy Thomas sampai takut untuk memulakan RCI,” soalnya dalam catatan di Facebook petang ini.
Kata Puad, jika tiada tindakan diambil, akan berlaku penganiayaan bukan sahaja kepada individu tertentu seperti bekas perdana Menteri Najib Razak, tetapi juga penganiayaan kepada sistem keadilan negara.
“Kerajaan tersepit. Kalau bertegas akan dituduh campur tangan. Tetapi jika dibiarkan ramai jadi mangsa berpanjangan,” ujarnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid membuktikan presiden Umno itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
Katanya, ia berlaku ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana Menteri selama 22 bulan sewaktu pentadbiran PH.
Mahathir melantik Thomas sebagai peguam negara selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di mana beberapa pemimpin Umno termasuk Najib dan Ahmad Zahid kemudiannya didakwa di mahkamah.
Najib dijatuhkan hukuman penjara pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun Ahmad Zahid dilantik sebagai timbalan perdana Menteri selepas BN mengadakan kerjasama dengan PH yang diketuai Anwar Ibrahim selepas PRU15.
Tindakan pihak pendakwaan memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Pihak pendakwaan memberikan 11 alasan untuk memohon mahkamah memberhentikan prosiding, antaranya berkenaan dakwaan bahawa Ahmad Zahid menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
Thomas dalam memoirnya sebelum ini mengulas isu-isu seperti pelantikan hakim, dakwaan campur tangan oleh pihak eksekutif dalam badan kehakiman serta dakwaan mengenai pendakwaan terpilih.
Kerajaan pimpinan Anwar mengumumkan penubuhan RCI bagi menyiasat memoir itu pada Januari lalu selepas kabinet menyemak cadangan yang dibuat oleh pasukan petugas khas yang menyiasat buku itu.
Pasukan petugas khas berkenaan yang ditubuhkan ketika pimpinan bekas perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Oktober 2021, mencadangkan supaya RCI dibentuk untuk meneliti perkara itu.
Pasukan petugas itu juga mengesyorkan supaya Thomas disiasat kerana menghasut dan melanggar undang-undang kerahsiaan kerajaan, selain mendakwa bekas peguam negara itu sendiri campur tangan dalam pelantikan hakim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said sebelum ini berkata RCI tersebut bukan untuk membakar simpang sebaliknya memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi.
Bagaimanapun, RCI berkenaan masih belum dibentuk.